18 rumah atas air musnah, tindakan pantas bomba halang kebakaran besar

18 rumah atas air musnah, tindakan pantas bomba halang kebakaran besa

TAWAU: Sebanyak 18 rumah atas air di Batu 4, Kampung Kurnia Jaya, Tawau, musnah dalam satu kebakaran petang tadi, namun kecekapan pasukan bomba berjaya mengekang api daripada merebak ke sekitar 500 rumah lain di kawasan padat itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.20 petang sebelum jentera dikerah ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.

Seramai 25 anggota bomba terlibat dalam operasi, termasuk lima anggota Bomba Bantuan dari Kunak dan pasukan Bomba Komuniti Titingan. Turut membantu ialah empat anggota polis serta 18 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Sebaik tiba, api sudah marak dan memusnahkan deretan rumah tidak kekal atas air. Sebuah kereta turut terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Operasi pemadaman dijalankan secara “defensive” menggunakan dua aliran 400 kaki dan dua pancutan dari tangki jentera serta sumber air laut berhampiran.

Katanya, tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya mengawal api pada jam 4.45 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya 5.47 petang.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dan punca kebakaran masih dalam siasatan.