17 Jalan raya akan diperbaiki segera: Ali Ahmad

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan memperbaiki 17 jalan raya yang dikenalpasti terputus ekoran hujan lebat serta banjir yang berlaku pada 11 sehingga 17 Januari lalu.
Pengarahnya, Ir Ali Ahmad Hamid berkata, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 42 laporan kerosakkan ketika fenomena banjir tersebut manakala 16 jalan raya sudah boleh dilalui dengan menggunakan sebelah lorong sahaja.

“Kita akan mengambil berat perkara ini, dalam tempoh sama JKR akan memperbaiki jalan ini secara berperingkat-peringkat. Ini termasuklah laluan Kota Kinabalu ke Tambunan rosak teruk akibat hujan lebat pada bulan Januari lalu.

“Setakat ini JKR juga membuat laluan alternatif sementara bagi membolehkan pengguna kenderaan tidak terjejas sekaligus laluan tersebut dapat digunakan buat sementara waktu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kewangan bagi pihak Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada Rumah Anak-Anak Yatim As-Sakinah (RAY-As-Sakinah), di Taman Pantai Lok Kawi, di sini hari ini.

Ali Ahmad berkata, setakat ini pihak menggunakan peruntukkan khas kecemasan bagi memperbaiki beberapa jalan berkenaan serta akan menyenaraikan beberapa baki kerosakkan jalan itu untuk diperbaiki dalam tempoh terdekat.

“Kita kenalpasti faktor utama masalah ini iaitu hujan lebat, struktur tanah mendap serta masalah banjir menjadi penyumbang kepada tanah runtuh sekaligus mengakibatkan kerosakkan jalan raya di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, beberapa jalan yang tidak menelan kos pembaikan yang tinggi sudah diperbaiki manakala sebahagiannya akan diperbaiki secara berperingkat-peringkat.

Sabahnewstoday

Leave a Reply