KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor mengumumkan geran khas RM125.6 juta untuk Sabah akan digunakan untuk membina sejumlah 1,500 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata, Rumah Mesra SMJ yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau (PPRT) akan diagihkan di semua kawasan di Sabah.
“Keputusan ini selaras dengan Haja Tuju SMJ Kerajaan Negeri. Inisiatif ini untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan mereka akan mendapat akses kepada rumah mampu milik.
“Lebihan dana daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki jalan, jambatan gantung dan infrastruktur lain serta harta benda yang rosak akibat banjir,” katanya pada majlis berbuka berpuasa bersama pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hajiji dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meningkatkan pemberian khas tahunan bagi Sabah sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta mulai tahun ini.
Hajiji berkata ia adalah permulaan yang baik untuk Sabah sambil memastikan dana itu akan disalurkan digunakan dengan baik untuk kepentingan rakyat dan negeri.
Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri GRS-BN berazam untuk meneruskannya usaha melalui rundingan yang masih berjalan untuk mendapatkan 40 peratus seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Hajiji yang juga Ketua Bersatu Sabah berkata ini adalah antara banyak kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri GRS-BN hanya selepas tiga tahun berkuasa.