KOTA KINABALU: Seramai 150 penyelidik dari serata dunia menyertai Persidangan Serantau Asia-Pasifik Persatuan Antarabangsa bagi Penyelidikan Sektor Ketiga (ISTR) ke-12 yang berlangsung pada 7 – 9 Disember 2022.
Persidangan selama tiga hari itu dianjurkan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin di sini, pada Rabu.
Berucap pada majlis itu, Ellron berkata, Peranan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) diakui berkesan dalam menyumbang kepada proses penggubalan dasar kerana ia menjadi sumber maklumat penting untuk rakyat dan kerajaan.
Katanya, masyarakat telah membuktikan bahawa ketabahan mereka dalam menangani COVID-19 yang telah mengancam kesihatan awam.
”Menerusi wacana intelektual seperti ini ia akan mampu membimbing mereka dalam membantu penggubal dasar dalam merancang dan melaksanakan program yang cekap. Ini termasuklah peranan CSO yang telah berjaya memainkan pelbagai peranan.
“Mereka memantau dasar dan tindakan kerajaan serta memastikan kerajaan bertanggungjawab dalam pelaksanaannya.
“Mereka terlibat dalam advokasi dan menawarkan dasar alternatif untuk kerajaan, sektor swasta dan institusi lain, serta menyampaikan perkhidmatan, terutama kepada golongan miskin dan kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.
Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Datuk Dr Kasim Mansor.
Pada majlis itu Ellron turut menyaksikan acara Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).
MoU tersebut antara lain bertujuan untuk mengukuhkan usaha kolaboratif berdasarkan inovasi, penyelidikan, penerbitan, latihan dan seminar.
Melalui kerjasama itu, UMS – YIM akan menyumbang idea, tenaga dan kepakaran melalui pelbagai aktiviti yang akan memberi faedah dan boleh dimanfaatkan untuk pembangunan dan kemajuan yang signifikan kepada masyarakat, negeri dan negara.
UMS diwakili Dr. Kasim manakala YIM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Sharmila Mohamed Salleh.
Hadir sama Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS, serta Pegawai-pegawai Utama dan kanan universiti.