TONGOD: Kampung Entilibon Tongod terpilih sebagai ‘Projek ternakan khinzir seluas 500 ekar’ bernilai RM200 juta sekali gus menjadikan daerah itu pengeluar produk daging haiwan utama di rantau Asia Pasifik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sebuah syarikat tempatan bersetuju menjalinkan perjanjian usaha sama dengan kerajaan negeri berhubung pelaburan projek tersebut bermula tahun depan.
“Operasi projek veteriner ini menggunakan sepenuhnya teknologi moden daripada negara Denmark.
“Pemilik tanah terlibat dengan projek itu sudah diberi pempasan selepas bersetuju menandatangani perjanjian dengan syarikat pemaju selama 50 tahun,” katanya di sini hari ini.
Masiung berkata, fasa pertama projek ini akan mengambil masa selama dua tahun merangkumi kawasan seluas 200 ekar, manakala 300 ekar lagi dilaksanakan pada fasa seterusnya.
“Industri penternakan ini akan di bina sebuah kilang pemprosesan serta pembungkusan daging khinzir bermutu tinggi untuk pasaran dalam dan luar negara pada fasa kedua,” katanya.
Dalam tempoh sama, syarikat terbabit bersetuju mengambil pekerja tempatan dalam kalangan penduduk Tongod, selain memberi peluang kepada kontraktor bumiputera.
“Industri veteriner itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan ia juga mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.