ESSCOM periksa 1,331 orang dalam Operasi Bersepadu

LAHAD DATU: Seramai 1,331 orang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di daerah ini dari 1 Disember hingga semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Hamzah Ahmad, berkata sepanjang tempoh operasi itu juga, sebanyak 205 kenderaan serta 486 rumah dan premis diperiksa.

“Daripada jumlah itu, seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum dihantar pulang ke negara asal.

“Bagi tempoh sama, sebanyak 26 saman trafik dan lima saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Selain itu, Hamzah berkata, jumlah nilai rampasan operasi bersepadu sebanyak RM2,002 yang terdiri daripada rokok seludup pelbagai jenama menyumbang kepada nilai rampasan tertinggi.

“Di samping itu, sebanyak 14 kompaun Majlis Daerah Lahad Datu dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki lesen perdagangan dan pengendalian makanan dikeluarkan, selain tindakan pemotongan penyambungan wayar elektrik haram di Kampung Panji.

“Operasi Bersepadu ini dilaksanakan bagi menguatkuasakan undang-undang di samping mengekang elemen jenayah rentas sempadan membabitkan PATI yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Hamzah berkata, pihaknya juga akan mempergiatkan operasi seumpama ini bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp, 011-63311072.