15: Ketua Cabang PKR Sabah gesa Pengerusi MPN Sabah Dr Sangkar Rasam letak jawatan

KOTA KINABALU : Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Sangkar Rasam hilang sokongan daripada 15 Ketua Cabang sekali gus menggesanya meletak jawatan dan berundur secara terhormat dalam tempoh terdekat.

Wakil 15 Ketua Cabang tersebut, Sazalye Donol berkata, kesemua 15 Ketua Cabang menyatakan pendirian melalui Akuan Bersumpat (SD) untuk menolak kepimpinan serta hilang kepercayaan terhadap Pengerusi MPN Sabah Dr Sangkar Rasam berkuatkuasa hari ini.

Katanya, beliau tidak dikenali selain tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan akar umbi serta menyebabkan PKR dipandang rendah dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dan persekutuan.

“Lebih menghairankan sejak dilantik pada 2022 Sangkar gagal mengadakan program bagi memperkasakan parti sekali gus menunjukkan kegagalannya memimpin PH di peringkat negeri Sabah.

“Semalam semasa mesyuarat MPN, Ketua Cabang Tuaran, Razeef Rakimin meluahkan permasalahan serta kelemahan kepimpinan negeri, akhirnya meminta Datuk Dr Sangkar Rasam meletak jawatan secara terhormat.

“Tindakan ini disusuli oleh beberapa lagi Ketua Cabang yang menyaksikan akhirnya Ketua-Ketua Cabang lain meninggalkan mesyuarat sebagai tanda protes terhadap kegagalan kepimpinannya, “ katanya dalam siding media di sini, hari ini.

Sazalye merupakan Ketua Cabang Kota Marudu berkata, ketua-ketua cabang mengharapkan kebijaksanaan Presiden Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan segera kemelut ini dalam tempoh terdekat.

“Paling penting apabila parti bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal diadakan pada bila-bila masa bermula daripada sekarang.

“Kami sebulat suara mendesak Datuk Dr Sangkar Rasam agar meletakkan jawatan secara terhormat, jika dia gagal berbuat demikain kami memohon Presiden Parti bertindak segera untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh terdekat,” jelas Sazalye.

Menurutnya, Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah perlu dilantik dalam kalangan pemimpin baharu serta berkaliber memenuhi aspirasi semua ketua-ketua cabang di seluruh negeri sekali gus memastikan PH menang dalam pilihan raya negeri akan datang.