AMK Sabah gesa SPRM bersikap adil bukan diperalat menekan individu dalam siasatan mereka

KOTA KINABALU : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bersikap adil, tidak diperalat untuk menekan individu tertentu ketika menjalankan tugas mereka.

Pengarah Komunikasinya, Fikrie Gobet berkata, tindakan menyalah guna dengan menggunakan jawatan selaku pegawai penguatkuasa yang sepatutnya menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan kepada agensi berkenaan.

Katanya, secara sekilas pandang sedar atau tidak kelihatan beberapa tuduhan tidak berasas terus menerus dilakukan terhadap individu bernama Datuk Lo Fui Ming pemilik tanah perlombongan emas di Bukit Mantri Balung, Tawau.

“Kelihatan dalam kes ini pengadu sedang menggunakan undang-undang dan SPRM, demi kepentingan peribadi menekan pihak sama ada syarikat atau orang awam menggunakan undang- undang untuk mengugut adalah tidak selaras dengan proses undang-undang di negara ini.

“Saya hadir dalam sidang media hari ini kerana selepas meneliti, ia merupakan tindakan penyalahgunaan kuasa bagi menekan individu tertentu dengan menggunakan jawatan penguatkuasa yang sepatutnya bertindak adil,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Fikrie berkata, tuduhan terbaharu membabitkan pemilik tanah perlombongan emas di Bukit Mantri ini dituduh lagi menggunakan SPRM di bawah akta berkait pemalsuan dokumen adalah dilihat tidak berkaitan.

“Apa yang menarik dalam isu ini, pengadu menghantar surat perjanjian untuk ditandatangani, dalam surat itu dimaklumkan mengandungi terdapat isu yang berat sebelah dan tidak menguntungkan menyebabkan pemilik tanah tersebut enggan menurunkan tandatangan.

“Kami juga dimaklumkan jika pemilik tanah ini bersetuju untuk menurunkan tandatangan maka secara tidak langsung kes ini boleh digugurkan secara serta-merta,” jelas Fikrie.

Menurutnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah asas kepada reformasi selaras dengan Aspirasi Malaysia Madani berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat secara serius sekali gus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai kerajaan untuk menjaga integriti pihak penguatkuasa di negara ini.

“Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri berusaha sedaya upaya menarik pelabur luar dengan menjelajah ke seluruh dunia. Tetapi, situasi sebegini akan menyebabkan pelabur asing takut melabur di Sabah.

“Bayangkan, pemilik tanah yang sah telah memanggil pihak yang menduduki tanah yang tanpa kebenaran mereka untuk berunding tentang sewaan.

“Tapi malangnya, pemilik tanah pula yang didakwa oleh SPRM. Seolah-olah SPRM bersekongkol dengan pihak yang tidak ingin membayar sewa ke atas tanah yang mereka gunakan tersebut,” tambah Fikrie.