121 warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menerusi Operasi Pemindahan Tahanan

TAWAU : Seramai 121 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal menerusi Operasi Pemindahan Tahanan Asing, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, kesemua PATI ini merupakan warga Indonesia berusia lima tahun hingga 69 tahun adalah tahanan dari Depot Imigresen Tawau.

Katanya, semua tahanan PTI dipindahkan ke destinasi asal iaitu Pulau Nunukan, Indonesia menggunakan feri Francis Express.

“Kanak-kanak mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga mereka yang sah, manakala jumlah PATI warga Indonesia dipindahkan ke negara asal iaitu seramai 773 orang.

“Ia menyumbang kepada jumlah keseluruhan tahanan PTI yang berjaya dipindahkan ke negara asal iaitu seramai 2,821 orang sehingga ke hari ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Sitti Saleha berkata, semua PATI ini selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan sekali gus mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah.

“SPLP ini dikeluarkan oleh pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI) untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan asing ke negara asal.

“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan,” jelas Sitti Saleha.

Menurutnya, tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Ia termasuk individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kita menasihatkan majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang,” katanya.

Beliau menambah, jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini.