KINABATANGAN: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira di Kampung Napagang Tongod, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.26 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan digerakkan ke lokasi.
Menurut laporan, seorang mangsa berjaya keluar sendiri dan dihantar ke hospital oleh orang awam untuk rawatan.
Seorang lagi mangsa didapati tersepit namun berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tongod sebelum ketibaan pasukan bomba.
Mangsa kedua itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.19 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
