TONGOD : Status zon perindustrian kilang klinker dan simen di Kampung Kawayoi Tongod akan ditranfomasikan sebagai pusat tarikan pelancong.
Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS), Datuk Masiung Banah berkata, selepas kilang ini mula beroperasi Mei tahun depan, BCS akan muncul sebagai kilang perindustrian pertama di Malaysia menawarkan zon kilangnya sebagai pusat pelancongan terbuka.
Katanya, pemprosesan batu kapor dan cara moden penjagaan alam sekitar di zon perindustrian kilang boleh dijadikan produk tarikan pelancong asing dan domistik.
“Pengunjung boleh melihat sendiri bagaimana proses operasi kilang bermula peringkat awal hingga akhir pembungkusan.
“Paling penting pelancong akan memperoleh pengalaman berguna, bagaimana cara kita menjaga alam sekitar disamping mewujudkan sistem keselamatan pencemaran udara,” katanya di sini hari ini.
Masiung merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tongod berkata, kawasan batu kapor ini ditumbuhi flora dan fauna disamping ekosistem tropika akan dikekalkan tanpa dicemari sisa pepejal kilang.
“Kawasan zon perindustrian kilang ini juga akan dibuka sebagai pusat kajian kepada universiti tempatan di negara ini.
“Kita berbincang dengan pengurusan BCS supaya sungai-sungai, air terjun dan tumbuhan eksotik yang terdapat dalam zon perindustrian kilang hendaklah dipelihara dan tidak diterokai,” jelas Masiung.
Menurutnya, pelawat boleh mejalankan aktiviti mendaki bukit pada ketinggian 900 meter dari aras laut sambil melihat dinding batu kapor serta menikmati pemandangan indah matahari terbit dan waktu senja.
“Cadangan menjadikan zon kilang klinker dan simen untuk aktiviti pelancongan akan dilaksanakan sebaik sahaja kilang itu beroperasi.
“Pada masa kini, kerja-kerja fasa pertama membangunkan kilang klinker simen itu sedang berjalan,” kata Masiung.
Turut hadir, Pengurus Besar BCS, Micheal Kinsuan, Pegawai Daerah Tongod, Yuseri Ismail Yusof serta Pegawai Pembangunan Masyarakat, Tokyo Hasim Omar.
