KOTA BELUD : Seorang Lelaki dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan di Sungai Kampung Lebak Moyoh, sejak Ahad lalu ditemukan lemas, tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa dikenali sebagai Noordin Punjuh berumur 51 tahun ditemukan penduduk kampung jam 12.56 tengah malam pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia kemudiannya pasukan bomba bertindak mengambil mangsa menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama dipecahkan kepada tujuh kumpulan. Anggota operasi menggunakan teknik pencarian pada permukaan (surface searching) menggunakan bot.
“Selain itu, pencarian dijalankan di sekitar kawasan tebing sungai disamping menggunakan bot serta dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilakukan dengan jarak keseluruhan lapan Kilometer,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Muhammad Syazwan berkata, selepas memastikan tiada bahaya lain di kawasan tersebut, operasi SAR ditamatkan jam 2.09 pagi tadi.
Ahad lalu, mangsa dikatakan keluar rumah untuk menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang, kira-kira jam 11 pagi.
Bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah dan kira-kira jam 8 malam Isnin, adik mangsa mencari di sekitar sungai namun hanya menemukan jala, beg pinggang, telefon bimbit, selipar dan baldi dipercayai milik mangsa