KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memohon agar perbicaraan rasuahnya yang sedang berjalan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuannya pada Mei untuk mendapatkan keterangan saksi yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Zahid, dalam laporan FMT hari ini melaporkan memfailkan permohonan itu dengan afidavit sokongan minggu lepas berkata, rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan untuk mengakas keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 9 Mei lepas.
Pada 9 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonan yang difailkan oleh bekas timbalan perdana menteri itu untuk mendapatkan akses kepada kenyataan 15 saksi yang direkodkan oleh SPRM.
Hakim Collin Lawrence Sequerah menolak permohonannya atas alasan dasar awam dan kepentingan awam. Sequerah juga berkata, beliau terikat untuk menolak permohonan itu disebabkan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu.
Zahid didakwa atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri.
Dua belas daripada tuduhan adalah untuk CBT, lapan rasuah dan baki 27 lagi untuk pengubahan wang haram.
Pada 24 Jan, Sequerah memerintahkan Zahid membela diri kerana menurutnya, pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie.
Zahid, yang juga presiden Umno, memberi keterangan pada 24 April dan peguamnya masih memeriksanya.
Katanya, beliau dinasihatkan oleh peguamnya agar “menjelaskan lebih lanjut untuk melengkapkan pembelaan”.
Menurutnya, kenyataan yang dimintanya diperlukan bagi memastikan beliau mendapat perbicaraan yang adil.
“Permohonan ini bukan untuk melengahkan perbicaraan kerana peguam saya sudah memulakan pemeriksaan utama,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata, pihaknya akan membantah permohonan itu, yang salinannya diterima melalui e-mel pada Sabtu.
“Kami memerlukan masa untuk menjawab afidavit pemohon (Zahid),” katanya kepada Sequerah, dengan menambah bahawa ia akan difailkan selewat-lewatnya pada 4 Julai.
Hakim berkata, beliau akan mendengar permohonan itu pada 7 Julai.