TANJUNG MALIM : Prihatin dalam meningkatkan modal insan negara, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) elah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penajaan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada 150 pelajar Pendidikan Bahasa Etnik bagi Program Penajaan PPBU YBR di sini, semalam.
YBR telah memperuntukan sejumlah RM7.5 juta bagi PPBU untuk pelajar yang terpilih bagi program ini serta peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebagai persediaan untuk memulakan semester baru.
Jalinan kerjasama selama lima tahun ini bermula dari tahun 2024 sehingga 2028.
Seramai 30 orang pelajar setiap tahun akan menerima penajaan PPBU setiap seorang berjumlah RM50,000 untuk memulakan pengajian.
Memorandum ini telah ditandatangani bersama oleh Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md Taff serta telah disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Kerjasama ini juga bertujuan bagi membuka peluang kepada pelajar pendidikan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda khususnya di dalam bahasa etnik yang sebelum ini hanya ditawarkan kepada pelajar peringkat pasca siswazah di UPSI.
Berucap pada majlis itu, Ewon berkata, usaha antara YBR dan UPSI ini juga akan menjadi motivasi serta pembakar semangat kepada pelajar untuk memartabatkan bahasa ibunda melalui pendidikan serta sedikit sebanyak menyumbang kepada generasi muda yang tidak melupakan asal usul serta menghargai bahasa sebagai jiwa bangsa.
Katanya, penajaan pelajar ini turut memandang dari aspek pembangunan modal insan negara yang mampan serta menunjukkan komitmen yang diberikan oleh YBR dan UPSI demi membantu pelajar tidak berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik tanpa sebarang masalah kewangan.
“Memartabatkan bahasa etnik juga merupakan perjuangan saya dalam memastikan bahasa ini tidak dilupakan dan diperkenalkan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Inisiatif kerjasama ini juga adalah selaras dengan Dasar United Nation dan The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dalam memperkasakan identiti kebangsaan dan bahasa minoriti.
Sementara itu, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata,, kerjasama antara YBR dan UPSI amat bertepatan dengan inisiatif YBR kerana usaha ini dilihat memberi keuntungan dan kebaikan bersama di mana pelajar berpotensi untuk mendapat pendidikan sama rata khususnya memberi peluang kepada golongan tidak berkemampuan melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, YBR akan sentiasa bersifat terbuka dan menyokong segala usaha ke arah meningkatkan martabat bahasa terutamanya bahasa etnik agar bahasa ini tidak pupus dan sentiasa terpulihara.
Untuk makluman, sehingga tahun 2023, seramai 7,051 pelajar telah ditawarkan PPBU YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM194.8 juta.