KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dan Sabah Environmental Trust (SET) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama melaksanakan aktiviti pemuliharaan hutan dan hidupan liar terancam di kawasan konservasi seliaan KYS.
Pengarah Yayasan Sabah Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar berkata MoU itu membolehkan kedua-dua pihak memantau dan membuat penelitian spesies hidupan liar yang terdapat di Kompleks Hutan Hujan Lembah Danum, Lembangan Maliau serta Kanyon Imbak (DaMal).
“Melalui kerjasama ini, peringkat awal kajian di Lembangan Maliau tertumpu kepada spesies tembadau dan gajah. Kajian ini akan ketuai oleh Pakar Hidupan Liar, Universiti Malaysia Sabah Prof Dr Abdul Hamid Ahmad,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.
Pada majlis itu, Gulamhaidar Khan mewakili KYS menandatangani MoU itu manakala SET diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Rahimatsah Amat dengan disaksikan Setiausaha Korporat KYS Hanafiah Diman bersama-sama Pengerusi SET Datuk Verus Aman.
Gulamhaidar Khan yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd berkata KYS dan SET juga menandatangani dokumen pelantikan khidmat pakar perunding Projek Formulasi Pelan Strategik Pengurusan Konservasi Pesisiran Pantai Silam (SCCA) untuk tempoh 10 tahun bermula 2023.
Beliau berkata selaku konsultan, SET akan bertanggungjawab mengumpul maklumat, merangka dan menyunting pelan pengurusan strategik berkenaan termasuk mengendalikan ekspedisi saintifik selain mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata spesies haiwan liar yang terancam di kawasan DaMal selain gajah dan Orang Utan, populasi tembadau juga semakin berkurangan apabila hanya terdapat kira-kira 500 ekor.
Populasi gajah di Sabah ketika ini pula dianggarkan sebanyak 1,500 hingga 2,000 ekor dan Orang Utan dianggarkan sebanyak 11,000 ekor yang berada di kawasan DaMal.
Katanya melalui MoU itu, JHL secara tidak langsung turut memainkan peranan khususnya mengekang pencerobohan hutan daripada pemburu haram.