Siasat, ambil tindakan individu terlibat video buli pelajar – Azizah
02 mins
PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Azizah Mohd Dun terkejut melihat rakaman video kejadian buli melibatkan pelajar dikatakan berlaku di sebuah sekolah bawah kelolaan agensi itu di Perak.
Susulan itu, beliau berkata pihaknya akan menyiasat kesahihan rakaman video berkenaan.
“Kami akan menyiasat kesahihan video tersebut dan pasti akan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat.
“Kami akan menyiasat kesahihan video tersebut dan pasti akan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat.
“Perkara ini tidak sewajarnya berlaku terutama dalam kalangan pelajar sekolah. Ini tidak sewajarnya dijadikan sebagai budaya kerana pelajar ini masih bawah umur dan masa depan mereka perlu dilindungi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Azizah melihat video itu apabila ditunjukkan wartawan selepas melancarkan satu program di Ampang Baru, Ipoh.
“Saya terkejut melihat video ini kerana ia merupakan budaya yang tidak sihat dalam kalangan pelajar sekolah. Ini budaya yang tidak sihat dan pastinya kita semua tidak mahu ia berulang lagi,” katanya.
Video berdurasi 10 saat itu tular di media sosial memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain dalam asrama. Ia dikatakan berlaku di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata beliau sudah mengarahkan polis Kuala Kangsar menjalankan siasatan.