KOTA KINABALU : Sentiasa yakin akan kebolehan diri sendiri menjadi kunci utama kejayaan penerima anugerah Pingat Emas Canselor, Tang Yi Li, 25, graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Beliau menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin yang juga Canselor UMS setelah mendapat purata nilai gred PNGK 3.97 dalam pengajian Ijazah Doktor Perubatan dengan Kepujian.
Menurutnya, minat yang mendalam dalam subjek Biologi semasa masih menuntut di sekolah menengah membuka lembaran untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan.
“Walaupun menghadapi cabaran dan pengorbanan, anugerah yang saya peroleh ini merupakan bukti ketekunan, sokongan keluarga dan semangat saya untuk terus belajar.
“Saya tidak dapat merayakan Tahun Baru Cina selama tiga tahun berturut-turut bersama ahli keluarga yang tercinta kerana dikekang dengan jadual yang padat dengan ujian dan kelas yang banyak.
“Kursus perubatan amat mencabar. Kaedah belajar melalui pengulangan, ketekunan belajar dan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan amat bermakna kepada saya,” katanya.
Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak berkata demikian ketika ditemui di Majlis Konvokesyen UMS ke-25, semalam.
Tambah Tang, terus maju ke depan dan percaya dengan proses menjadi pegangan hidupnya yang sering bermain badminton dan melancong bersama rakan-rakan seperti Kundasang, Labuan dan Pitas.
“Matlamat pertama saya ialah untuk menjadi kebanggaan keluarga saya. Bagi saya keluarga adalah segalanya dan merupakan penyokong utama saya dari dahulu sehingga kini,” tambahnya yang ketika ini bekerja sebagai pembantu penyelidik separuh masa dalam bidang neurologi, di Hospital Queen Elizabeth I.
Pada Majlis Konvekesyen UMS ke-25, seramai 4,236 graduan menerima ijazah masing-masing bermula semalam sehingga Khamis ini.