Warga Pakistan ditahan simpan gula pasir di Likas

KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup Sabah menahan seorang lelaki warga Pakistan disyaki menyimpan gula pasir di tempat yang tidak dilesenkan di kawasan perumahan di Likas, kelmarin.

Pengarahnya Georgie Abas berkata sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Sabah telah menjalankan Ops Tiris berikutan maklumat awam dan hasil pemeriksaan yang dijalankan sekitar jam 10.27 pagi mendapati sebuah kereta pacuan empat roda berada dalam pagar sebuah rumah memuatkan gula pasir.

Warga Pakistan ditahan simpan gula pasir di Likas.

Katanya Pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh anggota Penguat Kuasa KPDN Sabah terhadap kenderaan terbabit telah menemui sebanyak 108 kilogram gula pasir di bahagian belakang kereta tersebut tanpa sebarang dokumen yang sah dan pemilik juga tidak mempunyai lesen atau permit untuk menyimpan gula pasir di tempat tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, Penguat Kuasa KPDN Sabah telah mengambil tindakan dengan menahan seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki pemilik untuk siasatan lanjut.

Warga Pakistan ditahan simpan gula pasir di Likas.

“Sebanyak 108 kilogram gula pasir telah disita bersama kenderaan. Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM 50,307.80,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Georgie berkata KPDN Sabah ketika ini sedang giat menjalankan pemeriksaan dalam usaha mengekang ketirisan dan aktiviti penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi.

Menurutnya KPDN Sabah akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

Beliau berkata masyarakat pengguna disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat-maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk bersama-sama membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku dan dapat mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi Kerajaan melalui saluran-saluran seperti berikut:

i) Aplikasi WhatsApp ke 019-279 4317 / 019-848 8000
ii) Portal Aduan: e-aduan@kpdn.gov.my;
iii) Call centre 1 800 886 800;
iv) Emel ke e-aduan@kpdn.gov.my;
v) Aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN.