Warga Indonesia edar syabu di tahan polis

LAHAD DATU: Polis menahan dua suspek warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah jenis ‘Syabu’ seberat 200.56 gram bernilai RM20,056 di sini semalam.

Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, suspek seorang lelaki dan wanita itu tidak mempunyai dokumen masing-masing berumur 39 dan 52 tahun di tahan dalam satu serbuan di Sebuah Rumah Pekerja Ladang di Jalan Lahad Datu – Sandakan.

Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan dalam rumah tersebut polis menemui satu beg bimbit berwarna hitam dengan mengandungi empat plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu.

“Polis yakin bekalan syabu tersebut boleh menampung seramai 26,000 penagih dan diedar untuk kegunaan pekerja ladang di sekitar kawasan berhampiran atau daerah Kinabatangan.

“Ujian saringan awal polis yang dijalankan ke atas air kencing suspek terbabit mendapati kedua-dua mereka bebas daripada sebarang jenis dadah,” katanya.

Rohan Shah berkata, Polis juga turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda dan motosikal masing-masing bernilai RM90,000 serta RM21,000.

Kes ini akan disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

“Pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, sudah mempertingkatkan pelbagai usaha bagi membenteras kegiatan ini,” katanya.

Rohan Shah menyeru kerjasama orang ramai agar terus menyalurkan maklumat bagi memastikan daerah Lahad Datu bebas daripada kegiatan penyalahgunaan najis dadah.