KOTA KINABALU : Seorang lelaki warga emas ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan di kawasan tempat letak kereta berhadapan sebuah kedai di Kingfisher, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, mangsa berumur 64 tahun itu ditemukan terbaring di dalam keretanya dalam keadaan berdarah sekali gus disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Katanya, pihaknya menerima panggillan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.15 petang.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian menunjukkan tiada unsur-unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim berkata, punca kematian mangsa masih dalam siasatan polis dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).