Wanita perlu utamakan pemeriksaan secara lebih berkala demi kesihatan keluarga – Awang Aslee

BEAUFORT : Golongan wanita disaran agar mementingkan aspek kesihatan supaya dapat menjaga keluarga dengan baik.

Ketua Umno Bahagian Beaufort Datuk Awang Aslee Lakat berkata, ini kerana mereka ini merupakan tonggak dalam sebuah keluarga sekali gus memainkan peranan penting melibatkan pelbagai aspek antaranya berkaitan kesihatan keluarga.

Katanya, pemeriksaan kesihatan berkala penting bagi setiap individu dalam mengetahui status kesihatan diri seperti mencegah lebih baik daripada mengubati.

“Masyarakat hari ini sering mengabaikan kesihatan kerana tuntutan kerja dan tanggungjawab yang mendesak dalam dunia serba pantas.

“Statistik menunjukkan wanita lebih terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk tekanan, penyakit jantung, diabetes dan masalah mental,” katanya di sini hari ini.

Awang Aslee merupakan Pengerusi Penasihat Pusat Giat Mara Beaufort  berkata, sesetengah pihak hanya mendapatkan rawatan perubatan apabila benar rasa tidak sihat, sehingga terlupa penyakit itu mungkin sudah berkembang tanpa disedari.

“Penyakit yang lambat dikesan akibatnya boleh menjadi sangat parah, menyebabkan rawatannya lebih rumit serta mengurangkan peluang untuk pulih sepenuhnya.

“Pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu diusahakan, malah dijadikan sebagai satu aspek asas dalam menjaga kesejahteraan seterusnya menggalakkan masyarakat yang lebih sihat,” jelas Awang Aslee.

Menurutnya, masyarakat perlu menepis tanggapan pemeriksaan kesihatan hanya perlu dilakukan apabila terdapat simptom, atau ia memakan masa yang panjang, atau menyakitkan dan hanya untuk orang tua.