Wanita maut, kereta digilis lori di Jalan Lintas 

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya digilis lori dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di jalan bertingkat Lido di Jalan Lintas, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian berlaku jam 6 petang tadi membabitkan mangsa berumur 26 tahun yang memandu kereta jenis sedan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit dipercayai melanggar sebuah kenderaan di hadapannya.

“Akibat kejadian itu, pemandu kereta jenis sedan tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.