KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan kerjasama melibatkan teknologi angkasa dengan beberapa agensi di negeri ini dalam pengurusan sumber di negeri ini.
Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kerjasama ini merangkumi Teknologi Penderiaan Jauh (Remote Sensing), pemetaan dan pemantauan untuk mewujudkan mekanisme perancangan dan pengurusan sumber Sabah yang sistematik menerusi keupayaan teknologi angkasa.
Katanya MOSTI melaksanakan kerjasama itu menerusi agensinya iaitu Pemecut Penyelidikan Malaysia untuk Teknologi dan Inovasi (MRANTI) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Menurutnya antara pencapaian yang dibantu oleh teknologi angkasa termasuklah mengurangkan kos penguatkuasaan oleh Jabatan Perhutanan Sabah sehingga 58 peratus dan meningkatkan kutipan hasil sebanyak tujuh peratus bagi setiap tahun.
Beliau berkata bagi Jabatan Pertanian Sabah pula telah dapat mengurangkan masa pemetaan liputan tanah daripada lima tahun kepada dua tahun.
“Dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sabah, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud dan Lembaga Pertubuhan Pelandang Sabah, MOSTI melalui MYSA menggunakan teknologi angkasa untuk mewujudkan sistem pengurusan dan pemantauan tanaman padi secara sistematik.
“Hasil daripada kerjasama itu, kita wujudkan sistem MakGeoPadi yang telah berjaya menurunkan masa pemantauan di lapangan sehingga 57 peratus di samping menjimatkan kos subisidi Kerajaan untuk baja dan racun sebanyak 10 peratus,” katanya pada Majlis Sembang Santai Bersama Media Sabah di sini, malam tadi.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata usahasama ini memberi manfaat kepada 5,747 pesawah di seluruh Sabah.
“Kita turut membantu para nelayan untuk meramal kedudukan lokasi penangkapan ikan yang berpotensi tinggi melalui sistem e-SMART yang dibangunkan bersama Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (KO-Nelayan),” katanya.
Beliau berkata seramai 350 orang nelayan yang berdaftar di bawah Skim Bantuan Nelayan (SBN) telah dibantu.
Menurutnya menerusi kerjasama dengan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah pula telah berjaya melaksanakan Pemetaan substrat terumbu karang di lima taman marin di Tunku Abdul Rahman Park seluas 49 kilometer persegi, Pulau Tiga (158km²); Taman Pulau Penyu (17km²); Taman Marin Tun Sakaran (101km²) dan Taman Pulau Sipadan(50km²).
Dalam pada itu, Arthur berkata MOSTI telah menyalurkan sebanyak RM98 juta kepada Sabah bagi tujuan penyelidikan dan Pembangunan (R&D) merangkumi 226 projek sejak Rancangan Malaysia Ke-19 sehingga RMK-12.
Katanya bagi memperluaskan lagi maklumat berkenaan Skim Dana tersebut, MOSTI akan melaksanakan Program Jerayawara Skim Dana R&D pada 9 Oktober ini di negeri ini.
