Wanita antara 9 ditahan kes sabung ayam dalam ‘Operasi Limau’ di Tawau

TAWAU : Polis menahan tujuh lelaki termasuk dua wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan sabung ayam di kawasan Batu 5, Jalan Apas, Tawau petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerusi ‘Operasi Limau’ kira-kira jam 4.00 petang berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan.

“Seramai tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 24 hingga 56 tahun dan empat lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an hingga 50-an telah ditahan bersama seorang wanita pemegang kad pengenalan sementara (MyKAS) berusia 44 tahun.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati, dua diantaranya warga asing tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah, selain tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jasmin berkata, Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,200 dipercayai untuk kegiatan judi dan enam ekor ayam jantan dalam serbuan itu.

“Kesemua suspek ditahan manakala barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelas Jasmin.

Menurutnya, Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan jenayah dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan, boleh terus menyalurkanya di Balai Polis berhampiran atau menghubungi talian hotline 089-772121 atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” tambahnya.