Wan Mohd Fadzmi dilantik Pengerusi Labuan FSA yang baharu.

LABUAN: Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) telah mengumumkan pelantikan Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah sebagai Pengerusi Labuan FSA yang baharu berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Labuan FSA baru-baru ini, Wan Mohd Fadzmi telah dilantik oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi menggantikan Datuk Siti Zainab Omar yang bersara pada Mei 2023.

Wan Mohd Fadmi merupakan seorang tokoh perbankan yang mempunyai penggalaman lebih 25 tahun dalam industri tersebut sekaligus mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Labuan FSA.

Menurut kenyataan itu, Wan Mohd Fadzmi memulakan kerjayanya di Melbourne Australia sebagai Jurunilai Kos dengan syarikat Peter Slattery & Co.

Sekembalinya ke Malaysia pada 1988, beliau menyertai Malayan Banking Berhad (MMB) dengan menyandang pelbagai jawatan pengurusan eksekutif dan Ketua Negara bagi operasi bank berkenaan di London, New York dan Hongkong.

Selain itu, beliau pernah menyertai RHB Bank Berhad sebagai Pengarah Kumpulun Strategik Perbankan Kewangan Antarabangsa di Singapura, Thailand dan Brunei.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) pada Julai 2011 hingga Ogos 2017 dengan mengetuai operasi di 188 cawangan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Pada masa ini, beliau memeggang jawatan pengerusi dan pengarah utama dipelbagai institusi perbankan serta syarikat awam dan swasta antaranya Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Sumimoto Mitsui Banking Corporation (M) Berhad, dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Hap Seng Consolidated Berhad dan VS International General Limited.

Wan Mohd Fadzmi juga merupakan ahli panel Pelaburan Lembaga Tanbung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau juga pernah meraih pelbagai pencapaian sepanjang perkhidmatan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Cemerlang 2017 daripada Institusi Kewangan Pembangunan Persatuan di Asia Pasifik di Macau, China.

Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Pembinaan Universiti RMIT Australia juga pernah dinobatkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik bagi Anugerah Kewangan Islam Global 2016 di Jakarta Indonesia dan Anugerah Kepimpinan Perbankan Runcit Islam ke 3, pada 2017.

Pada masa ini, Wan Mohd Fadzmi merupakan ahli Perbankan bertauliah Asian Institute of Chatered Bankers, Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam serta Felo Institut Pengarah Korporat Malaysia.