KOTA KINABALU : Satu garis panduan akan diwujudkan bersama Jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu serta pelancong yang ingin berkunjung ke kawasan berkenaan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ini berikutan mengenai isu tular membabitkan Pegawai Masjid Bandaraya yang menghalang pelancong China yang ingin mengambil gambar di luar kawasan terbabit.
Menurutnya, semalam pihaknya sudah berbincang terhadap perkara tersebut termasuk bersetuju mewujudkan garisan panduan yang jelas kepada pelancong yang ingin datang ke masjid.
“Kita ingin menyelaras perkara ini secara sebaik mungkin termasuk mewujudkan satu garis panduan yang jelas kepada jawatankuasa masjid serta pelancong.
“Kedua-duanya perlu ada etika, adab dan adat, kedua-duanya perlu mematuhi garis panduan ini dan InsyaAllah kita akan tambah baik mana yang perlu,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas Majlis Penyampaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), di sini semalam.
Sebelum ini tular berkaitan satu video tular seorang kakitangan masjid di bandaraya ini didakwa menghalang pelancong asing mengambil gambar sekitar masjid berkenaan jika tidak membuat bayaran terlebih dahulu.
Mohd Arifin merupakan EXCO Pendidikan dan Agama pada ketika itu berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci isu terbabit.
“Nanti saya periksa. Tanggungjawab kita sebagai ahli jawatankuasa masjid, atau siapa sahaja di masjid.
“Kita mesti menjaga adab dan mengalu-alukan sesiapa saja. Sama ada jemaah atau pelancong, kita perlu menyantuni mereka dengan baik,” katanya.
