KOTA KINABALU : Sejumlah 500 permohonan diluluskan bagi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk siri pertama tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kelulusan itu TPNS ini melibatkan peruntukan sekitar RM3 juta dikhususkan kepada pelajar menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di seluruh negara.
Katanya, pada tahun lalu kerajaan memperuntukkan lebih kurang RM8 juta daripada tabung TPNS sekali gus membantu kira-kira 8,000 anak-anak Sabah.
“Alhamdulillah pada hari ini, kita bermesyuarat dan ada lebih 500 pelajar memohon kita sudah luluskan.
“Kelulusan ini secara tidak langsung menelan belanja lebih kurang RM3 juta untuk siri pertama tahun 2025 khususnya daripada golongan B40,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata kepada media selepas Majlis Penyampaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), di sini semalam.
Mohd Arifin berkata, pihaknya berharap pada tahun ini akan lebih ramai pelajar akan dibantu khususnya kepada mereka belajar di peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).
“Mudah-mudahan tabung pendidikan ini dapat membantu Yayasan Sabah, Biasiswa Kerajaan Negeri dan dermasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta agensi-agensi lain.
“Ini juga merupakan harapan Ketua Menteri agar TPNS dapat menjadi pendokong kepada usaha memperkasa bidang pendidikan di Sabah,” jelas Mohd Arifin.
Menurutnya, ini adalah merupakan salah satu agenda utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu modal insan dan kesejahteraan rakyat.
Pada majlis tersebut, seramai 30 pelajar IPTA/S menerima bantuan TPNS berjumlah RM107,000 manakala 11 pelajar sekolah menengah menerima bantuan kaca mata.
