SANDAKAN: Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kolej Kediaman Lestari UMS dan Kolej 13, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Mobiliti Asia Tenggara (Malaysia – Thailand – Indonesia), baru-baru ini.
Program tersebut melibatkan enam buah universiti; UMS dan UPM mewakili Malaysia, Thaksin University mewakili Thailand, dan tiga universiti dari Indonesia iaitu Universitas Andalas, Universitas Syiah Kuala dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara.
Berlangsung selama tiga hari secara dalam talian, seramai 29 pelajar mengambil bahagian.
Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar (HEP) FPL, Dr. Mohd Rakib Mohd Rashid.
Menurutnya, program mobiliti itu diadakan sebagai platform bagi membolehkan pelajar dari tiga negara Asia Tenggara mempelajari budaya serta ilmu berkaitan pertanian.
“Objektif program ini adalah untuk mendedahkan pelajar dengan budaya Malaysia, Thailand dan Indonesia; berkongsi ilmu khususnya mengenai pertanian, sekali gus membangunkan kemahiran kepimpinan serta komunikasi pelajar melalui program di peringkat antarabangsa.
“Pertukaran idea, memupuk persefahaman dalam kalangan antara negara serta budaya adalah penting.
“Kita memerlukan pengetahuan dan kesedaran berhubung dengan kekangan dan peluang yang menanti,” katanya dalam ucapan perasmian.
Mohd Rakib berkata, walaupun perjumpaan secara fizikal tidak dapat diadakan akibat kekangan pandemik Covid-19, namun aktiviti program dapat dilaksanakan dengan jayanya secara maya.
“Peserta serta kakitangan yang terlibat dapat berkongsi pengalaman dan budaya masing-masing.
“Saya berharap, inisiatif ini akan memberi manfaat kepada kita semua ke arah masa depan pertanian yang lebih baik, kerana generasi muda ini merupakan bakal pemimpin di masa akan datang.
“UMS juga berharap hubungan persahabatan dan kerjasama antara universiti yang terlibat dapat dieratkan lagi pada masa hadapan melalui pelbagai aktiviti dalam bidang pertanian,” tambahnya.
Hadir sama, Pengetua Kolej 13 UPM, Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor.