Adakan Sidang Parlimen Khas – Pandikar

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa untuk mengadakan Persidangan Parlimen Khas pada awal tahun depan bagi membincangkan secara terperinci tuntutan- tuntutan Sabah dan Sarawak selari dengan objektif dan semangat pindaan perlembagaan itu, kata Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau yang juga mantan Speaker Dewan Rakyat berkata, adalah suatu tindakan yang ikhlas sekiranya Kerajaan Persekutuan mengadakan Sidang Parlimen Khas bagi membincangkan tuntutan tuntutan Sabah dan Sarawak secara teliti dan terperinci selari dengan objektif dan semangat pindaan yang sememangnya terangkum dalam dasar baru Kerajaan PN- Keluarga Malaysia.

Dua hari lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang  (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63) selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

“Sebagai seorang anak Malaysia berasal dari Sabah, saya amat teruja apabila mendapat maklum bahawa Perlembagaan Malaysia yang ada hubungkait dengan Penubuhan Malaysia sepertimana yang telah dipersetujui oleh  Malaya, Singapura, Borneo Utara dan Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia 1963, telah berjaya dipinda sewaktu persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, dengan undi melebihi dua pertiga iaitu sebanyak 200 undi,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)  atas usaha dan kejayaan beliau mempengaruhi seramai 199 orang ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menyokong pindaan.

Namun , katanya,  tanpa komitmen kerajaan PN di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, Perdana Menteri yang menggagaskan ‘Keluarga Malaysia’ , suatu dasar yang bertepatan dengan objektif  dan semangat Perjanjian Malaysia1963, pindaan perlembagaan yang dimaksudkan itu, tidak akan menjadi kenyataan.

Beliau yakin rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak turut bergembira terhadap pindaan ini. Walau bagaimanapun, sebarang peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan itu tidak akan mempunyai makna sama sekali sekiranya ianya diabaikan atau tidak dilaksanakan.

”Dalam erti kata lain, adakah dengan pindaan ini semua tuntutan negeri Sabah dan Sarawak yang dikumandangkan selama ini akan dilaksanakan dalam tempoh yang munasabah? Atau pindaan ini adalah cuma atas nama sahaja untuk menyenangkan hati rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak?” soalnya.

“Saya berpandangan  adalah suatu tindakan yang ikhlas oleh Kerajaan Persekutuan sekiranya suatu persidangan khas parlimen diadakan pada awal tahun depan untuk membincangkan secara terperinci tuntutan-tuntutan negeri Sabah dan Sarawak selama ini selari dengan objektif dan semangat pindaan ini yang sememangnya terangkum dalam  dasar baru kerajaan PN- Keluarga Malaysia, ” katanya.

Pandikar berkata pimpinan baru Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hendaklah bersikap terbuka dan komited kepada objektif membangunkan negeri Sabah dan Sarawak dengan memberikannya peruntukan yang mencukupi.

Katanya, sikap Presiden Indonesia, Joko Widodo yang komited membangunkan wilayah termundur dan sanggup mengwujudkan  ibu negaranya yang baru di Kalimantan Timur, wajar dicontohi oleh Putrajaya.

“Putrajaya tidak akan rugi sekiranya Sabah dan Sarawak dibangunkan dengan sewajarnya,” katanya.

Menurut Pandikar, seharusnya membangunkan Sabah dan Sarawak dianggap sebagai sama seperti tindakan Presiden Jokowi yang membangunkan wilayah Kalimantan, yang disifatkan sebagai wilayah termundur.

Bagi Jokowi, terbangunnya Kalimantan adalah suatu tindakan yang menguntungkan Indonesia secara keseluruhan.

“Pada prinsip yang sama, membangunkan Sabah dan Sarawak adalah juga menguntungkan negara Malaysia secara keseluruhan, ” katanya.