KOTA KINABALU: Sabah yang terkenal dengan destinasi pelancongan utama dan sektor pertanian khususnya pengeluaran bahan mentah, berpotensi membangunkan industri halalnya sendiri, kata Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Berhad (HDC) Hairol Ariffein Sahari.
Beliau berkata lokasi strategik negeri ini, membolehkan capaian mudah dengan pasaran lebih besar di luar negara bersesuaian sasaran pelan HDC yang kini aktif menerusi inisiatif kerajaan-dengan-kerajaan (G2G) bersama negara di Asia Timur seperti Korea Selatan dan Jepun.
“Industri halal boleh meningkatkan produktiviti, menambahkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat dan menyumbang kepada arah pertumbuhan negara, melalui perdagangan halal, pelaburan dan peluang pekerjaan,” katanya berucap pada Majlis Penutupan Jelajah Halal Malaysia (JHM) 2021 Sabah di sini, hari ini.
Lebih 200 peserta terdiri daripada usahawan produk atau perkhidmatan halal sedia ada dan usahawan berkaitan industri halal menghadiri program tiga hari itu yang berakhir hari ini.
Beliau berkata sehingga kini, hanya kira-kira 300 syarikat dari Sabah telah menerima pensijilan halal berbanding hampir 10,000 syarikat di seluruh negara.
HDC akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan daripada kedua-dua sektor kerajaan dan swasta untuk mengkaji serta mencadangkan pelan tindakan bagi menggalakkan peningkatan industri halal di Sabah.
Antara usaha HDC meningkatkan penglibatan usahawan dalam industri ini adalah menerusi ‘Halal Integrated Platform’ (HIP), dengan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) mahupun berskala besar di Sabah digalakkan mendaftar sebagai ahli HIP HDC bagi mudah dihubungkan dengan industri halal lain serta memperoleh perkhidmatan sokongan dalam perniagaan,” katanya.
Hairol Ariffein berkata usahawan tempatan tidak harus melepaskan peluang ini kerana HDC dan Kerajaan Negeri Sabah komited dalam menyediakan platform bagi mereka meraih peluang menjadi usahawan cemerlang Halal Malaysia.
Menurutnya usaha kerajaan negeri untuk terus memperkasakan industri halal telah mewujudkan sinergi antara kerajaan pusat dan negeri dalam merencanakan agenda pembangunan industri halal yang lebih holistik.
Katanya menerusi JHM Sabah, HDC sebagai agensi penyelaras pembangunan ekosistem Halal Malaysia telah bertemu serta berbincang dengan usahawan PKS dan pengusaha halal.
“Melalui sesi-sesi yang diadakan selama tiga ini, HDC dapat memahami keperluan usahawan dan pengusaha halal, selain menyediakan sokongan dan penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan,” katanya.
— BERNAMA