KOTA KINABALU: Hab Halal bakal diwujudkan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) untuk mengalakkan usahawan tempatan menceburi dan menembusi pasaran halal, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Beliau berkata Hab Halal yang akan dibangunkan di tanah seluas 20 ekar (8.09 hektar) itu akan menyediakan kemudahan premis, teknologi dan platform digital yang diperlukan usahawan dalam sektor tersebut.
“Hab Halal akan memberi panduan kepada usahawan mengenai keperluan untuk mendapatkan pengiktirafan halal dan pensijilan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri).
“Ia juga akan memberi bantuan dalam pemprosesan dan pemasaran produk itu,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Jelajah Halal Malaysia 2021 (JHM) Sabah di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Shahelmey Yahya.
Hajiji berkata Sabah adalah antara penyumbang dalam ekonomi halal negara, sektor pertumbuhan baharu yang berpotensi besar.
“Ekonomi halal yang kukuh juga akan menjadi petanda baik dalam menarik lebih ramai ketibaan pelancong dalam sektor pelancongan mesra Muslim (MFT), segmen baharu dalam sektor pelancongan di Sabah.
“Industri pelancongan halal dijangka meningkat kukuh berdasarkan lokasi Sabah yang strategik dalam BIMP-Eaga dan turut membuka banyak peluang pelaburan langsung dan perdagangan sempadan dengan pembangunan di negara jiran Kalimantan, Indonesia,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji menggesa semua kementerian dan agensi berkaitan serta pemain industri dapat menggembleng tenaga dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.
Katanya kerajaan negeri juga akan terus menyediakan pelbagai inisiatif sebagai pemangkin kepada industri halal, dengan memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.
“Kita berharap lebih banyak syarikat tempatan akan menceburi sektor itu kerana pada masa ini, hanya kira-kira 300 syarikat di Sabah mendapat pengiktirafan halal walaupun terdapat lebih 5,000 syarikat berpotensi besar di negeri ini,” katanya.
— BERNAMA