UMNO Sabah sambut baik keputusan MKT Ismail Sabri Yaakob calon Perdana Menteri – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri memperlihatkan tahap solidariti luar biasa berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu menujukkan kematangan pemimpin Umno disamping mengutamakan kesepakatan bagi mempastikan Barisan Nasional (BN) kembali membentuk kerajaan yang stabil.

“Umno Sabah menerima baik cadangan ini serta sentiasa memberikan sokongan padu terhadap keputusan parti yang menamakan Ismail sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno solidariti ini mencerminkn sikap pemimpin Umno lebih mengutamakan kepentingan negara dan parti melebihi daripada kepentingan peribadi.

“Keputusan ini sudah tentu dapat  mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti, malah memperkukuhkan perspektif luar kepada masa hadapan politik Malaysia,” katanya.

Berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang bercelaru dalam menamakan calon Perdana Menteri mereka selepas PRU15 berikutan mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan negara.

“Semua kepimpinan Umno dipelbagai peringkat kini perlu lebih fokas dalam menyusun jentera serta gerak kerja parti bagi mempastikan kemenangan BN dalam menghadapi PRU15 akan datang,” katanya.