KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan hampir memuktamadkan kerjasama bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Katanya, perkembangan positif itu selepas kedua-dua pemimpin tertinggi itu sudah beberapa kali mengadakan perbincangan ke arah kerjasama itu.
“Kita juga sudah mengadakan perbincangan bersama rakan dalam kompenan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan setiap kerusi di kawasan bukan bumiputera Islam dapat ditawan dan dipertahankan pada PRN nanti.
“Kiita tidak hanya membincangkan satu parti sahaja malah dengan pelbagai parti untuk berhasrat bertanding dalam PRN nanti.
“Dalam PRN ini kita sangat perlukan angka biar pun parti kecil namun mereka boleh menyumbang kerusi untuk pembentukkan kerajaan selepas PRN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa bersama UMNO Zon Tiga membabitkan Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang, di Dewan Masyarakat Baharu Papar di sini, semalam.
Bung Moktar yang merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, dalam tempoh terdekat UMNO dan BN akan menawarkan tawaran baharu kepada rakyat bagaimana memajukan Sabah dari perspektif yang lebih besar bagi menjurus ke arah Sabah benar-benar Maju Jaya.
“Sabah tidak percaya masalah infrastruktur di Sabah ini tidak diselesaikan kerana kerajaan telah bersilih ganti namun rakyat masih gagal mendapatkan kemudahan yang mereka inginkan.
“Berikan kami mandat untuk mengambilalih tampuk kepimpinan negeri Sabah pada PRN nanti, kami akan pastikan Sabah berada pada landasan yang betul ke arah betul-betul maju bukan retorik,” jelas Bung Moktar.
Beliau juga mengesahkan akan mengadakan perbincangan secara terperinci bersama rakan gabungan dalam komponen BN untuk menentukan bilangan kerusi yang akan ditandangi kelak.
“Saya akan maklumkan nanti ke arah bagaimana pengagihan kerusi ini, dan saya akan mengadakan jelajah di 23 kerusi ini untuk melihat bagaimana sambutan pengundi terhadap UMNO dan BN.
“Selepas itu kita kemudiannya akan memikirkan sama ada bertanding di kawasan tersebut atau berbincang dengan rakan kompenan lain agar rakan kompenan lain boleh menyumbang pada kerusi tersebut,” tambah Bung Moktar.