Umat Islam Perlu Hayati Sirah Rasulullah Dalam Kehidupan Harian – Hajiji

SANDAKAN: Umat Islam diseru agar bukan sekadar memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW melalui sambutan Maulidur Rasul semata-mata, sebaliknya menghayati dan mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata penghayatan sirah Rasulullah SAW adalah kunci dalam membentuk masyarakat madani yang sejahtera, progresif dan berakhlak mulia.

Hajiji bersalaman dengan tetamu yabg hadir di majlis tersebut.

“Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah dengan asas keimanan, keadilan sosial dan perpaduan antara kaum. Model ini wajar dijadikan teladan, khususnya di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama,” katanya.

Mengulas lanjut, Hajiji menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh pendidikan agama, memperkasa institusi Islam, serta memberi penekanan kepada pembangunan belia dan wanita.

Katanya, usaha itu selari dengan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menumpukan kepada pembangunan modal insan.

“Tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, ‘Membangun Ummah Madani’ amat bertepatan dengan cabaran serta harapan kita sebagai rakyat dalam sebuah negeri yang berbilang kaum, adat dan budaya,” ujarnya.

Dalam usaha mendekatkan sambutan Maulidur Rasul dengan rakyat, kerajaan negeri turut mengumumkan bahawa acara peringkat negeri tidak lagi terhad di ibu negeri, sebaliknya akan diperluas ke daerah dan bandar utama di seluruh Sabah.

“Pendekatan ini membolehkan rakyat di pelbagai daerah menyertai perarakan dan perhimpunan Maulidur Rasul bersama para pemimpin negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkongsi perkembangan projek pembinaan Pusat Islam Sandakan yang bakal menjadi mercu tanda baharu syiar Islam di bandar itu.

Kompleks berkenaan merupakan cetusan idea Tun Musa Aman ketika menjadi Ketua Menteri pada tahun 2017.

“Insya-ALLAH, Sandakan akan terus dibangunkan sebagai bandar kedua terbesar Sabah, terutama dalam sektor pendidikan, pelancongan, perniagaan dan perdagangan,” katanya.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini menjadi bukti iltizam kerajaan negeri dalam memperkukuh perpaduan ummah serta membina masyarakat seimbang dari segi spiritual dan material, selaras dengan nilai Islam dan kemajuan negeri Sabah.