KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah memberi jaminan tindakan tegas akan diambil berhubung insiden pergaduhan yang berlaku di Pulau Timba-Timba, Semporna baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Christina Liew, berkata kementerian kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan.
“Walaupun Pulau Timba-Timba tidak terletak dalam kawasan yang diwartakan di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah (TTS), kejadian ini tetap membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, pihak pejabat daerah dan majlis daerah telah mengambil tindakan awal termasuk menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada menjalankan aktiviti urus niaga haram di kawasan berkenaan.
“Sebelum ini, notis pengusiran telah pun dikeluarkan terhadap penghuni haram di pulau itu.
“Semua aktiviti perniagaan wajib mematuhi peraturan sedia ada. Tanpa lesen atau permit sah, tiada pihak dibenarkan berniaga atau memungut sebarang bayaran,” tegasnya.
Tambah beliau, keselamatan pelancong sentiasa menjadi keutamaan dan semua pihak berkaitan perlu memainkan peranan masing-masing.
“Kita kesal dengan kejadian pergaduhan di destinasi pelancongan. Namun, dimaklumkan pihak polis telah menahan individu terlibat dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Christina turut menasihati pengendali pelancongan agar lebih bertanggungjawab dan tidak membawa pelancong ke lokasi yang tidak selamat.
“Kita mahu pelancong berasa selamat dan yakin datang ke Sabah. Justeru, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mengekalkan imej pelancongan negeri ini,” katanya
