KOTA KINABALU : Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) merancang mewujudkan beberapa Fakulti baharu selaras fungsinya sebagai universiti milik sepenuhnya kerajaan negeri.
Pengerusi Lembaga Pengarah dan Lembaga Pengelolanya, Datuk Dr. Mohd Yaakub Johari berkata, antaranya termasuk Fakulti Undang-Undang, Maritim, Kecerdasan Buatan (AI), Sains Komputer serta Seni Bina.
Katanya, UCSF komited memperkasakan taraf pendidikan di Sabah disamping memberi peluang kepada anak tempatan untuk melanjutkan pengajian mereka.
“UCSF memerlukan sokongan semua, bukan sahaja dalam kalangan kerajaan negeri malah daripada pelbagai pihak untuk menperkasakan universiti ini pada masa depan.
“Kita akan terus memantapkan peranannya universiti ini dalam melahirkan modal insan sekali gus kembali semula untuk menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di sini semalam.
Mohd Yaakub berkata, UCSF yakin mampu memainkan peranan penting di Sabah termasuk di peringkat nasional serta antarabangsa terutamanya di rantau ASEAN untuk melahirkan pelajar tempatan di negeri ini.
Sementara itu, Naib Canselornya, Datuk Dr. Rafiq Idris berkata, sehingga kini UCSF melahirkan lebih 3,000 graduan sekali gus berjaya menamatkan pengajiannya sejak ditubuhkan pada sepuluh tahun lalu.
