KOTA KINABALU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bercadang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, penggunaan teknologi canggih ini penting bagi mengatasi cabaran keselamatan di kawasan sempadan negara terutama di kawasan pantai timur
Sabah.
Katanya, tahap Kawalan keselamatan ini penting untuk memastikan aktiviti membabitkan kes penculikan tidak akan berlaku pada masa depan.
“Kali terakhir kes penculikan berlaku di ESSZone adalah pada 15 Januari 2020, kira-kira lebih lima tahun lalu.
“Kita sentiasa meningkatkan strategi serta pengukuhan tahap kawalan keselamatan di kawasan lokasi dikenal pasti agar kejadian ini tidak akan berulang kembali,” katanya di sini semalam.
Victor berkata, dalam tempoh sama ESSCOM menjalin kerjasama baik dalam kalangan penduduk setempat serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain untuk memastikan tahap keselamatan sentiasa terperlihara.
“Jadi sebagai jenama keselamatan di kawasan Pantai Timur, ia akan memperlihatkan peningkatan serta pertambahan kedatangan pelancong asing dan dalam negara melawat ke kawasan ini.
“Kita dimaklumkan, sehingga kini pertambahan lebih ramai pelabur daripada dalam dan luar negara lebih tertumpu kepada kawasan Pantai Timur Sabah,” jelas Victor.
Menurutnya, dalam tempoh sama pihaknya bercadang untuk menambah pembinaan beberapa pos-pos kawalan baharu agar tahap keselamatan lebih terjamin.
Sementara itu ketika mengulas mengenai kunjungan kepada Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor beliau berkata, bertujuan menjalin kerjasama dari segi kepentingan strategik.
