KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hadir ke majlis sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.
Hajiji tiba jam 7.48 pagi menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah diiringi Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Juhar tiba pada jam 8.00 pagi kemudian menerima Tabik Hormat DiRaja daripada Kawalan Kehormatan PDRM (Pecah Bendera) dan seterusnya memeriksa kawalan kehormatan.
Acara menaikkan Jalur Gemilang, Bendera Sabah sertalagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, Tiupan Paluan Akhir “The Last Post” oleh PDRM.
Turut menyaksikan persembahan khas Angkatan Tentera Malaysia, bacaan sajak pahlawan, tiupan “Rouse” dan pameran.
Pada majlis itu juga turut disampaikan sumbangan kepada balu dan keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa Peristiwa Tanduo Lahad Datu.
Juhar bersama Hajiji dan jemputan lain turut meluangkan masa melawat Pameran Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri.