TAWAU: Projek melabuhkan 40 tukun tiruan sekitar perairan Batu Payung dijangka mewujudkan tempat pembiakan serta meningkat pemuliharaan hasil hidupan laut di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pada masa sama, inisiatif Jabatan Perikanan Sabah dikenalpasti dapat membantu nelayan tradisi meningkatkan hasil tangkapan ikan, sekali gus menambah pendapatan ekonomi mereka.

Katanya, tukun tiruan dikenalpasti merupakan kaedah berkesan bagi meningkatkan sumber perikanan marin khususnya di kawasan perairan Batu Payung Tawau.
“Hari ini Jabatan Perikatan Sabah melabuhkan 40 unit tukun tiruan membabitkan kos dianggarkan RM450,000 di kawasan ini.

“Kita yakin bantuan dan peruntukan besar bagi tujuan projek ini, menunjukkan komitmen tinggi kerajaan bagi memastikan nasib golongan nelayan pesisir pantai sentiasa terbela,” katanya di sini, semalam.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, tukun tiruan ini juga dilihat dapat dijadikan sebagai lokasi produk tarikan pelancong khususnya peminat aktiviti sukan memancing. 
Katanya perkhidmatan memancing di kawasan tukun tiruan boleh dijadikan tarikan pelancong kerana sudah pasti lokasi itu mempunyai hasil laut yang bernilai tinggi.
