PENSIANGAN: Rakyat di kawasan luar bandar diingatkan agar bersiap bersedia meningkatkan pelbagai pengetahuan sekali gus berfikiran terbuka menuju ke Tahun Baharu 2023.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan Sabah (WARISAN), Mudi Dubing berkata, mereka mesti menukar minda berfikiran positif untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang di masa depan.
“Sempena menyambut Tahun Baharu ini, banyak perkara yang boleh kita syukuri. Sekarang adalah masanya untuk semua pihak bekerjasama dan mengetepikan sebarang perbezaan supaya kita boleh terus melakukan yang terbaik untuk rakyat di negeri ini.
“Apa yang dilalui semasa 2022, perlu dijadikan pengajaran agar kita bersama-sama untuk mencapai matlamat ke arah sasaran yang ditetapkan di masa depan,” katanya di sini hari ini.
Mudi merupakan Pemangku Ketua Bahagian Pensiangan berkata, pelbagai cabaran dilalui semasa 2022 termasuk Pasca COVID-19 sekali gus mengakibatkan keadaan ekonomi masyarakat di luar bandar terjejas.
“Kali ini kita mengajak agar seluruh masyarakat luar menetapkan sasaran untuk bertindak sesuatu yang baru untuk keluar daripada belanggu kemiskinan.
“Kita yakin jika semua bersatu padu melangkah terus ke hadapan dan fokus kepada pemulihan ekonomi akan dapat diatasi secara berperingkat-peringkat dalam tempoh terdekat,” katanya.