KOTA KINABALU: Universiti College Sabah Foundation (UCSF) perlu dicadangkan membuka ‘Mini Kampus di Tawau’ selaras untuk mengantarabangsakan universiti itu dalam aspek akademik dan penyelidikan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini memastikan UCSF terus cemerlang serta menjadi pilihan anak Sabah sebagai dalam universiti tunggal milik Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Sabah.
Katanya, selaras dengan itu kerajaan memberi peruntukan tambahan RM5 juta sebagai geran penyelidikan pembangunan kursus dan latihan kepada penjawat awam serta belia sekali gus projek perintis kepada pengeluaran batik botanic UCSF
“Saya juga meluluskan cadangan penubuhan kursi akademik di UCSF yang diberi nama Kursi Pembangunan Sabah UCSF dengan suntikan dana permulaan sebanyak RM5 juta. Saya berharap dengan bantuan tambahan ini, UCSF akan terus cemerlang,” katanya.
“UCSF akan menawarkan kursus berasaskan Minyak dan Gas di kampusnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar tempatan dalam pelbagai bidang pekerjaan sektor berkenaan.
“Hakikatnya bahawa polisi-polisi pengurusan bakat dan modal insan telah pun digubal dan akan terus menjadi keutamaan saya,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan melakukan yang terbaik bagi membangunkan negeri ini di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, sehingga berjaya meraih hasil lebih RM6.6 bilion pada tahun 2022.
Katanya, hasil yang dikutip itu merupakan prestasi terbaik kerajaan negeri selepas bersama membentuk Malaysia pada tahun 1963, yang juga antara bukti kesungguhan kerajaan Sabah pada masa ini membangunkan negeri ini.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri juga terus melaksanakan dasar kukuh bagi membawa lebih banyak pelaburan.