Tidak berbangkit soal ketidakadilan isu pelantikan pemimpin di DUN Lamag – Abu Bakar.

KOTA KINABALU : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menafikan dakwaan semua jawatan peringkat kampung dibolot sekali gus mengetepikan hak parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Bahagiannya Abu Bakar Gapar berkata, video mengenai tuduhan tular di media sosial adalah tidak benar sekali gus sengaja disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, ia bertujuan hanya untuk merosakkan nama baik Gagasan Rakyat sekali gus mencemarka. nama baik Ketua Bahagian Gagasan Rakyat DUN Lamag.

“Sebenarnya tidak timbul soal berlaku kekecohan serta ketidakadilan dalam isu pelantikan pemimpin akar umbi seperti digambarkan di media sosial, termasuk video disebarkan oleh pihak tertentu.

“Apa yang berlaku adalah salah faham oleh seorang Ketua Bahagian parti komponen GRS ketika menyampaikan ucapan ringkas sebelum Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada 4 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abu Bakar berkata, kemungkinan Ketua Bahagian tersebut kurang informasi berkaitan pelantikan tersebut sehingga beranggapan  wakil parti itu dibelakangkan.

“Berdasarkan senarai ketua-ketua adat yang dilantik dikeluarkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah tiga orang  daripada parti itu dilantik bersama beberapa orang lagi daripada parti-parti komponen yang lain.

“Kementerian Kerajaan Tempatan membuat pelantikan itu adalah berdasarkan merit selepas menerima syor nama daripada komponen GRS,” jelas Abu Bakar.

Menurutnya, ini mengikut garis panduan dikeluarkan oleh Kerajaan pada Oktober 2022 manakala pemimpin mewakili komponen GRS bahagian Lamag untuk dilantik mengisi kekosongan berkenaan.

“Ia membabitkan jawatan Ketua Adat mencapai 56 peratus berbanding parti dominan dari segi ahli serta senioriti. Justeru, tidak wujud isu soal ketidakadilan dalam pelantikan ini.

“Mengenai tuduhan pemimpin parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak dijemput juga tidak benar. Jangan kaitkan isu tersebut dengan soal ketidakadilan dan ketidakbersatu parti-parti komponen GRS di DUN Lamag,” kata Abu Bakar.

“Saya ingin tegaskan di sini Parti  Bersatu Sabah (PBS) dan Gagasan Rakyat di Kinabatangan tetap kukuh bersatu.

“Kita berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan menimbulkan provokasi bahawa akar umbi GRS bercakaran merebut jawatan. Isu ini hanya disebabkan salah faham yang telah diberikan penjelasan sebaiknya,” tambah Abu Bakar.