Tiba masanya untuk berundur dalam politik- Nazri

KOTA KINABALU: Nazri Aziz akan bersara dari politik setelah enam penggal menjadi Ahli Parlimen, dan tidak akan bertanding dalam PRU15.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu memberitahu dalam laporan FMT, beliau berniat untuk berundur daripada arena politik sejak dua PRU lalu, namun akur kepada kehendak pemimpin Umno dan pengundi yang mahukannya terus berkhidmat.

“Saya rasa, ketika kami (Barisan Nasional) kalah dalam PRU 2018, ada hikmahnya kerana selepas itu, kami tidak dapat jadi kerajaan dan tidak lagi memiliki kuasa membentuk Jemaah Menteri. Jadi, jauh lebih mudah (untuk berundur).

“Zaman kegemilangan (saya) akan berakhir, tapi tidak apa. Saya puas nikmati masa saya dalam politik. Saya berusia hampir 70 tahun sekarang, jadi berundur dengan cara baik sangat penting (bagi saya),” kata Nazri, 67.

Tambahnya, ada ramai ahli politik baharu bersedia menggantikannya pada masa ini. Beliau yakin keputusannya untuk bersara akan mendapat persetujuan parti dan pengundi Padang Rengas.

“Saya sudah bertahun-tahun mendokong amanah rakyat. Saya bermula sebagai pengerusi MARA pada 1990 selama lima tahun, berkhidmat sebagai timbalan menteri selama lima tahun, menteri selama 19 tahun dan Ahli Parlimen sejak 1995. Saya juga menjadi Senator pada 1990.

“Saya telah luangkan banyak masa untuk berkhidmat kepada rakyat, jadi kenapa perlu ada penyesalan?” katanya.