KOTA KINABALU: Tidak ada masalah untuk berdebat secara bersemuka bagi memperjelaskan kepada umum mengenai isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan mencabarnya berdebat secara bersemuka adalah berdasarkan saranan Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN) Datuk Mohd Azis Jamman.
Menurut laporan Utusan Borneo hari ini, setakat ini beliau tidak menghadapi tetapi biarlah berdebat secara bersemuka sebagai alternatif kepada cadangan untuk membuat ‘live’ (siaran langsung) mengikut plaform masing-masing.
“Kalau saya mahu terangkan melalui ‘live’ tidak kisah, tapi kenapa tidak berdebat? kalau dia cakap, saya boleh jawab terus dan orang boleh tengok dan dapat nilai apa fakta sebenar,” katanya dalam laporan Utusan Borneo hari ini.
Armizan merupakan Ahli Parlimen Papar berkata, ketika ini terdapat beberapa pihak mempertikaikan tindakannya untuk berdebat secara bersemuka yang dianggap seperti ‘melayan’ permintaan pihak berkenaan.
Bagaimanapun beliau menegaskan tindakannya itu penting memandangkan ada fakta yang dikongsikan pihak terbabit boleh mengelirukan umum.
“Bagi saya, kenapa perlu layan sebab fakta-fakta itu mengelirukan dan berkait rapat dengan tanggungjawab saya. Paling dahsyat nama saya dipetik, justeru saya perlu respon.
“Kalau tidak respon seolah-olah saya cuba menyembunyikan perkara-perkara tertentu sehingga disebut saya tidak main peranan…saya tidur dan tidak memperjuangkan hak.
“Saya tiada masalah, asalkan kita dapat memastikan debat itu berlangsung dalam suasana harmoni, adil dan memberi ruang yang sebaik-baiknya kepada pihak yang terlibat untuk mengemukakan hujah masing-masing,” jelasnya.
Beliau juga tidak menujukan cadangan berdebat secara bersemuka itu khusus kepada Azis sahaja, tetapi kepada mana-mana pemimpin WARISAN.
Katanya, debat berkenaan juga bukan berkaitan siapa menang atau kalah, tetapi ia persoalan dalam memberikan fakta yang sebenar kepada rakyat Sabah.
“Ini persoalan untuk mengetahui kedudukan yang sebenar supaya rakyat Sabah mempunyai kefahaman bersandarkan kepada fakta yang jelas, tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
“Ini kerana kita mahu memperjuangkan hak dan kepentingannya (MA63) dan kita perlu berdiri atas landasan dan fakta yang tepat.
“Bagaimana kita mahu berdebat dengan orang lain jika kita punya landasan dan suara tidak bersandarkan kepada fakta dan perundangan yang jelas bagi memenuhi tuntutan kita, itu paling penting,” jelasnya.