KOTA KINABALU: Kecekalan serta komitmen tinggi ditunjukkan setiap pelatih dalam latihan perlu diamalkan semasa melaksanakan tugas sebagai seorang anggota penyelamat di lapangan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sebagai perkhidmatan profesion yang mulia, masyarakat memandang tinggi terhadap kecekapan, kesiapsiagaan dan pengorbanan anggota bomba.
Katanya, ini untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terpelihara dan terjaga.
“Tradisi dan legasi ini hendaklah diwarisi setiap lapisan warga bomba, khususnya pegawai baharu dalam perkhidmatan.
“Saya percaya latihan yang diperoleh terutama menerusi modul latihan asas Kursus Sijil Sains Kebombaan ini akan merubah pelatih.
“Ini daripada seorang awam kepada seorang yang mengamalkan budaya kerja perkhidmatan beruniform melalui pembentukan keperibadian yang unggul, keberanian dan tidak mementingkan diri.
“Justeru, saya mahu semua anggota baharu seramai 148 orang ini akan memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sepanjang latihan untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perbarisan Pertauliahan Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini pada Khamis.
Hajiji turut menyambut baik usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menempatkan pasukan Mountain Search and Rescue ( MOSAR ), yang mempunyai kepakaran yang khusus dan kompeten bagi melaksanakan kerja penyelamatan di gunung.
“Tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu pada tahun 2015 telah memberikan pengajaran kepada kita untuk sentiasa bersedia menghadapi bencana seumpamanya dan penubuhan MOSAR adalah satu tindakan yang tepat.
“Berdasarkan kepada statistik penyelamatan oleh MOSAR, sebanyak 26 kes penyelamatan telah dilaksanakan oleh pasukan itu bagi tahun 2022 bermula Januari hingga Jun,” katanya.
Hajiji berkata, kecemerlangan sesebuah pasukan atau organisasi adalah berlandaskan tahap disiplin warganya.
Oleh itu katanya, penjawat awam diseru untuk sentiasa mengamalkan integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.