Oleh: Prof Madya Dr J. James Silip
Musim penyakit pendemik ini telah memberi kesan kepada rutin pengambilan dan sumber keperluan dapur harian kita khususnya sayur-sayuran segar.
Terutama sekali apabila perintah kawalan pergerakan dijalankan. Oleh itu adalah penting untuk anda mengetahui teknik asas untuk memanjangkan jangka hayat hasilan ini.
Jangka hayat biasanya diukur dengan ukuran jangka masa tertentu seperti bulan, minggu, hari dan jam hasil dapat bertahan atau tiada perubahan kualiti berbanding kualiti awal sebelum dikendali.
Kualiti pula dirujuk kepada rupa bentuk,warna, berat, kandungan nutrisi dan kandungan kimia tertentu mengikut kehendak pengguna atau kumpulan orang yang berkepentingan terhadap hasilan tersebut.
Kualiti ini akhirnya diletakkan standard tertentu berdasarkan persetujuan semua komuniti yang berkepentingan kepada hasilan ini agar tidak akan wujud perbalahan kemudian hari kerana kualiti inilah yang akan dijadikan penanda aras kepada harga hasilan.
Sebagai contoh cili Gred A mestilah pada saiz, berat dan kesempurnaan serta ketiadaan kecacatan dan kerana itu akan mempunyai harga yang lebih tinggi berbanding dengan Gred cili yang lebih rendah.
Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi jangka hayat simpanan sayur-sayuran. Faktor utama adalah jenis sayur-sayuran itu sendiri. Kita tahu terdapat kumpulan sayur daun, pucuk, bunga,buah, sulur dan jenis umbisi.
Jenis kumpulan sayur yang tahan lama ialah jenis buah, dan umbisi. Manakala sayur dalam kumpulan jenis daun mempunyai jangka hayat yang lebih cepat rosak.
Pada hakikatnya telah ditemukan pelbagai teknik pengendalian yang sesuai untuk memanjangkan jangka hayat simpanan kebanyakan jenis hasilan dan saya akan senaraikan antara kaedah tersebut.
Faktor utama yang sangat mempengaruhi dan jika dapat dikawal akan banyak membantu memanjangkan jangka hayat hasilan iaitu teknologi yang dinamakan teknologi Pra-penyejukan.
Teknologi ini digunakan untuk membuang haba panas yang ada dalam hasilan yang baru sahaja dituai atau diangkut dari jarak tertentu. Terdapat pula pelbagai cara untuk melaksanakan hasrat ini berdasarkan kesanggupan pengendali hasilan.
Salah satu daripadanya ialah dengan menyediakan rendaman air dingin. Hasil kemudian direndamkan ke dalam air dingin ini untuk beberapa jangka masa tertentu untuk membuang suhu panas pada hasilan dengan cepat.
Adalah didapati bahawa suhu panas yang ada pada hasilan jika tidak dibuang akan mengakibatkan hasilan akan menjalankan metabolisma dalam selnya dengan lebih cepat dan hasilan akan cepat rosak dan akhirnya jangka hayat jadi pendek.
Setelah dijalankan pra-penyejukan barulah sewajarnya hasilan disimpan dalam bilik sejuk. Saya percaya anda semua memiliki peti sejuk di rumah dan dalam peti sejuk ini terdapat dua bahagian iaitu peti suhu sederhana sejuk dan satu lagi bahagian sejuk beku.
Teknologi peti sejuk dibangunkan oleh pengkaji pengendali hasilan pertanian sejak 600 tahun yang lalu dan kepentingannya sama-sama kita nikmati sehingga ke hari ini.
Elakkan meletakkan hasilan ke peti sejuk beku kerana hasilan akan rosak akibat pembekuan sel yang merosakkan hasilan dan akhirnya menjadikan kerugian kepada pengguna.
Jika anda membungkus hasilan sebelum menyimpan dalam peti sejuk. Anda sebenarnya akan mendapat keuntungan dengan jangka hayat yang sedikit lebih panjang berbanding dengan hasilan yang tidak dibungkus.
Cukup dengan membungkus menggunakan kertas anda akan mendapat kelebihan. Hakikatnya terdapat banyak jenis pembungkus dengan plastik nipis berlubang adalah yang direkomen.
Pada kesimpulannya, anda harus mengetahui jenis hasilan tanaman yang anda hendak kendali, miliki peti sejuk, elakkan kecederaan semasa mengendali, jalankan pra-penyejukan, dan bungkus sebelum menyimpan untuk mendapatkan keuntungan jangka hayat simpanan yang lebih panjang kepada sayuran yang anda hendak kendalikan.
Penulis: Profesor Madya Dr. J. James Silip
(Fakulti Pertanian Lestari, UMS Sandakan]