LAHAD DATU: Seorang pekerja kilang didenda RM1,500 selepas didapati tidak mendaftarkan diri dalam rekod kehadiran bertugas serta di Aplikasi MySejahtera dalam Operasi Patuh (Op Patuh) yang dijalankan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, hasil pemeriksaan dijalankan terhadap kilang berkenaan kira-kira jam 11 pagi mendapati tiada pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) manakala kapasiti pekerja hadir bekerja tidak melebihi 60 peratus.
Katanya, Op Patuh sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini telah memeriksa sebanyak lapan kilang industri memproses Kelapa Sawit termasuk beberapa hostel tempat penginapan pekerja kilang terbabit.
“Pihak Polis juga menasihatkan pemilik kilang agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain mengikut tempoh operasi yang telah ditetapkan.
“Op Patuh hari ini kita gerakkan melibatkan beberapa balai polis berhampiran termasuk Balai Polis Lahad Datu, Tambisan, Desa Kencana, Cendrawasih dan Tungku bagi menjayakan Op Patuh yang dilancarkan seluruh negara bermula semalam,” katanya.
Rohan Shah berkata, Polis akan meningkatkan operasi pematuhan SOP di kilang sekitar daerah ini bagi mengawal penularan COVID-19 sekali gus akan memperhebatkan operasi ini bagi memastikan kilang terbabit tidak lagi mewujudkan kluster jangkitan di tempat mereka.
Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesa pihak berkuasa akan menjalankan Operasi Patuh (Op Patuh) secara besar-besaran dan bersepadu esok, dengan tumpuan ke atas negeri-negeri yang masih mencatatkan jangkitan harian COVID-19 yang tinggi.
Operasi itu yang melibatkan semua agensi berkaitan dan diketuai oleh ketua polis daerah, akan menyasarkan kawasan perindustrian termasuk tempat penginapan pekerja yang berisiko tinggi berdasarkan pemetaan yang dibuat sebelum ini.