Tanah Dalam Proses Pewartaan Sejak 30 Tahun lalu Di JTU Beaufort, Kini Milik Orang Lain – Rynnalto

BEAUFORT : “Kami tidak menyangka tanah sepatutnya dalam proses permohonan pewartaan sejak lebih 30 tahun lalu di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Beaufort milik orang lain,” kata Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Jempangah, Rynnalto Elsther Peter.

Menurutnya, permohonan rasmi untuk pemilikan tanah telah dibuat sejak tahun 1992 manakala sepanjang proses tiada satu pun surat ditolak malah disokong dan dibenarkan untuk pewartaan tanah.

“Surat terakhir dikemukakan pada 2005, namun selepas itu tiada maklum balas. Hasil semakan juga mendapati pada tahun itu, tanah ini sebenarnya telah dibeli oleh pihak lain tanpa pengetahuan penduduk yang memohon.

“Penduduk hanya menyedari status tanah tersebut pada Disember 2022 apabila satu papan tanda pemilikan diletakkan di kampung ini,” katanya di sini hari ini.

Rynnalto berkata, beliau mewakili  200 penduduk kampung berdepan tindakan pengusiran dari tanah yang didiami sejak hampir 80 tahun lalu, selepas kawasan itu disahkan sebagai milik individu lain

“Sebanyak 53 rumah terlibat dalam arahan pengosongan membabitkan kawasan seluas kira-kira empat hektar, menerusi notis mahkamah yang diterima pada 7 Mei lalu.

“Pada awal 2023, penduduk kemudiannya diberikan surat tawaran untuk membeli lot tanah daripada pemilik baharu, namun timbul keraguan kerana tiada geran tanah asal dikemukakan,” jelas Rynnalto.

Menurutnya, pada awalnya, sukar untuk mwreka terima beeikutan pemilik tersebut tidak mengemukakan geran asal sebagai bukti pemilikan.

“Lagipun kampung ini telah lama dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti tangki air graviti, bekalan elektrik, jalan raya dan dewan, jadi siapa sangka tanah ini milik individu lain,” katanya.