BEAUFORT : Kerajaan negeri perlu bertindak tegas membela nasib penduduk Kampung Jimpangah, Beaufort selepas mereka menerima perintah pengusiran Mahkamah berikutan tanah diduduki sejak 30 tahun lalu dimiliki individu lain.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, tempoh masa diberikan kepada penduduk kampung selama dua minggu sangat singkat untuk mengosongkan tanah berkenaan.
Katanya, sebagai makluman penduduk kampung ini telah membuat permohonan secara rasmi terhadap tanah ini sejak tahun 1992 lagi.
“Ketika mereka membuat rujukan kepada permohonan tersebut, Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Beaufort memaklumkan bahawa tanah dipohon itu kini dalam proses untuk kelulusan pewartaan kawasan perkampungan.
“Kemudiannya penduduk kampung sekali lagi membuat rujukan semula permohonan pada 2005, pihak Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Beaufort tidak ada mengeluarkan sebarang khabar berita berkaitan permohonan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Awang Aslee merupakan Ketua UMNO Bahagian Beaufort berkata, sehinggalah pada 7 Mei baru-baru ini mereka telah menerima keputusan Perintah Mahkamah iaitu berpihak kepada pemilik tanah terbabit.
“Mahkamah memberikan alasan bahawa permohonan penduduk kampung telah ditolak oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pengunaan Tanah Daerah Beaufort (LUC) pada tahun 2023.
“Apa yang menghairankan penduduk Kampung Jimpangah St John, Beaufort, mereka menerima pelbagai kemudahan disalurkan kerajaan termasuk dewan, tangki air graviti, kemudahan jalan raya serta bekalan elektrik” jelas Awang Aslee.
Menurutnya, sudah tentu penduduk kampung beranggapan bahawa tanah diduduki sejak sekian lamanya telah dikitiraf oleh kerajaan menjadi tanah perkampungan yang sah mengikut lunas undang-undang.
“Namun apa yang berlaku mereka telah disaman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu oleh pemilik tanah mendakwa kononnya penduduk kampung telah menceroboh serta membina rumah tanpa kebenaran di kawasan tersebut.
“Saya sangat simpati terhadap nasib mereka, perlu diingat penduduk kampung bukan ingkar terhadap perintah mahkamah namun berilah sedikit pertimbangan atau belas kasihan berikutan tempoh dua minggu dilihat terlalu singkat,” katanya.
Beliau mengingatkan pihak terlibat bahawa penduduk Kampung Jimpangah St John, Beaufort adalah rakyat tempatan rata-ratanya merupakan kalangan suku kaum Kadazan Dusun.
“Mereka orang susah, sudah tentu penduduk kampung ini tidak mempunyai keupayaan membayar untuk menggunakan khidmat peguam bagi membolehkan kes ini dapat dipanjangkan ke peringkat Mahkamah Rayuan.
“Mereka bukan Pendatang Tanpa Izin (PTI)…Kita yakin penglibatan campur tangan pihak Kerajaan Negeri termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sangat penting untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh singkat,” tambahnya.