KOTA KINABALU: Status Wilayah membabitkan Sabah dan Sarawak perlu dilaksanakan berikutan ia berdasarkan kepada prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa pembentukan Malaysia.
Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata, ia adalah terbentuk melibatkan tiga entiti utama, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam MA63.
Katanya, Rang Undang-Undang berkaitan perkara itu sudah diwartakan sebelum ini sekali gus menjadi keutamaan untuk dilaksanakan.
“Jangan mengatakan ia tiada keperluan, cuma adalah salah satu kelainan daripada entiti sedia ada bagi membolehkan Sabah dan Sarawak merupakan Wilayah,” katanya di sini hari ini.
Shafie berkata,, Wilayah mempunyai banyak perbezaan dengan sebuah negeri, khususnya dari segi pemberian geran khas serta kuasa-kuasa berkaitan dan hak-hak tertentu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Wilayah dijadikan sebagai entiti kerana melibatkan MA63 diantara Malaya ketika itu Tanah Melayu dan kerajaan Borneo (Sabah Sarawak) ketika itu dalam permerintahan British.
“Saya yakin apa yang penting cuma ia diletakkan di situ sebagai landasan supaya bukan hanya perundangan tetapi juga provision tuntutan-tuntutan yang perlu seperti yang diumumkan Perdana Menteri,” katanya.
Pewartaan istilah wilayah bagi Sabah dan Sarawak akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk mendapatkan pandangan sewajarnya sebelum ia dikemukakan kepada jemaah menteri dan kabinet.
Menjelaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia berdasarkan prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa pembentukan Malaysia melibatkan tiga entiti utama, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.